BOMBA membantu memadam kebakaran kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu memadam kebakaran kereta mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Dua mangsa yang maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di Kilometer 7, Jalan Sitiawan - Changkat Cermin berhampiran simpang Kampung Columbia, Ayer Tawar, di sini, semalam, adalah suami isteri.

Mangsa, R Ellango, 51, dan isterinya, S Thavaselvi, 43, tidak melecur tetapi mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Difahamkan, pasangan itu sempat dikeluarkan oleh orang awam sebelum kenderaan itu terbakar.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kejadian berlaku pada 5.30 petang ketika suami isteri berkenaan menaiki Proton Iswara dari arah Sitiawan menghala ke Ayer Tawar.

Menurutnya, ketika kejadian, pasangan terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di Ayer Tawar selepas lelaki berkenaan mengambil isterinya yang berkerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kilang di Kampung Acheh, Sitiawan.

"Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba kereta dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dari kanan ke kiri jalan lalu melanggar tiang elektrik dan (menyebabkan kereta) terbakar.

"Kedua-dua mangsa terbabit tidak melecur tetapi mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441 bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 8:34 AM