Noor Hidayah Tanzizi


MAYAT lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemui dalam keadaan tertiarap di Kampung Koh, Sitiawan, hari ini.

Difahamkan, orang awam menemui mangsa berusia 40-an itu pada 7.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki terbabit dipercayai warga asing kerana tiada penemuan vaksin Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pada lengannya.

PASUKAN forensik polis memeriksa mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan tertiarap di Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
PASUKAN forensik polis memeriksa mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan tertiarap di Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Menurutnya, pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui kecederaan fizikal, namun ada pendarahan di hidung dan telinga.

"Tiada sebarang unsur jenayah dan senjata yang ditemui, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya.

Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 4:38 PM