GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier dibekukan (moratorium) selama dua tahun bermula 14 September lalu hingga 15 September 2022.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memaklumkan, keputusan itu dibuat dengan persetujuan bersama antara suruhanjaya itu dan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi kuasa pelesenan mengikut Akta Perkhidmatan Pos 2012 dan boleh disemak semula pada bila-bila masa berdasarkan keperluan.

"Dalam tempoh moratorium berkuat kuasa, MCMC tidak akan menerima permohonan lesen baharu semua kategori untuk menjalankan perkhidmatan kurier.

"Permohonan yang diterima sebelum tarikh kuat kuasa moratorium dan permohonan pembaharuan lesen sedia ada akan diproses untuk kelulusan.

"Setakat Oktober ini, terdapat 109 pemegang lesen perkhidmatan kurier pelbagai kategori yang beroperasi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan, moratorium dilaksanakan untuk memberi laluan kepada kerajaan bersama industri pos dan kurier membuat perancangan baharu bagi memperkukuhkan sektor itu yang berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran.

"Langkah ini juga sejajar dengan gesaan rasmi yang dihantar Persatuan Syarikat Penghantar Ekspress Malaysia (AMEC) sejak Ogos lalu.

"AMEC ialah gabungan 25 syarikat kurier utama di Malaysia termasuk Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn Bhd, City-Link Express (M) Sdn Bhd dan lain-lain," katanya.

Katanya, proses merangka pelan tindakan baharu akan dilaksanakan menerusi penganjuran Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) yang bakal berlangsung selama tiga minggu bermula 2 hingga 22 November 2020 tetapi tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan.

"Apabila siap nanti, laporan penuh yang mengandungi cadangan pelan tindakan bagi menyokong aspirasi pembangunan strategik industri pos dan kurier baharu itu akan dimuat naik dalam laman sesawang MCMC untuk rujukan semua.

"Hasil NPCIL penting untuk industri ini yang menjadi teras kepada aktiviti e-dagang dan pembangunan ekonomi digital yang menghadapi pelbagai cabaran baharu yang dicetuskan oleh ledakan teknologi yang mengakibatkan percantuman sektor logistik, platform e-dagang, e-hailing dan sistem transaksi kewangan.

"Kajian terakhir mengenai industri pos dan kurier dilakukan pada 2009," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 11:44 AM