GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengadakan sesi rundingan awam berkenaan kerangka pelesenan perkhidmatan kurier baharu, dalam usaha memperkasakan industri pos dan kurier negara.

MCMC dalam kenyataannya tadi memaklumkan, rundingan awam pada 5 Julai itu adalah untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas pihak berminat dan berkepentingan, terhadap kerangka pelesenan perkhidmatan kurier baharu yang dicadangkan.

Kenyataan itu menyatakan, terdapat 13 soalan soal selidik dalam dokumen rundingan awam itu, bagi mendapatkan maklum balas responden antaranya prinsip panduan untuk kerangka pelesenan kurier baharu, cadangan struktur pelesenan baharu, cadangan syarat pelesenan standard dan syarat pelesenan khas, model di pelesenan baharu, serta proses migrasi dan pemetaan.

"Dokumen rundingan awam itu boleh diperoleh melalui pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/MCMC_Licensing_Frame..., dengan tarikh akhir penghantaran maklum balas adalah pada jam 12 tengah hari, 30 Julai ini," menurut kenyataan itu.

Kerajaan sudah memperkenalkan Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ), yang lahir daripada inisiatif Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL), dengan matlamat menyampaikan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, bagi menyokong pertumbuhan industri e-dagang daripada 14 bungkusan per kapita kepada 30 bungkusan per kapita menjelang 2025, menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pada 3 Jun juga dilapor berkata, PAKEJ bakal menyaksikan lebih banyak Pusat Pungutan dan Serahan (PUDO) bebas, dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan pos dan kurier, sekali gus mewujudkan perkhidmatan kelas pertama kepada pengguna Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Julai 2021 @ 7:12 PM