LANGKAH pertama transformasi Pos Malaysia dilakukan adalah menyemak semula kadar pos.
LANGKAH pertama transformasi Pos Malaysia dilakukan adalah menyemak semula kadar pos.
Suliati Asri


Kuala Lumpur: Kecekapan perkhidmatan penghantaran Pos Malaysia menjadikan ia sebagai salah satu perkhidmatan kurier pilihan ramai.

Justeru, untuk terus memberikan yang terbaik kepada pelanggan, Pos Malaysia melaksanakan rancangan transformasi sejak 2019 dengan hasrat untuk memacu pertumbuhan syarikat.

Transformasi itu juga dilaksana seiring dengan perkembangan ekonomi digital melalui penerapan inovasi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kepuasan pelanggan selain kekal menjadi penyedia perkhidmatan yang utama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Pos Mohamed Rozaidi Md Sharif berkata, tujuan transformasi ini adalah untuk mencapai pulangan jangka panjang dan pulangan berterusan (pendapatan, pengurusan kos, ketangkasan) untuk syarikat sekali gus memberi tawaran terbaik kepada pelanggan.

Katanya, langkah pertama transformasi Pos Malaysia dilakukan adalah menyemak semula kadar pos yang kali terakhir harga pos disemak semula pada 2010.

"Semakan harga pos itu nyata memberi kesan positif kepada pendapatan Pos Malaysia sekali gus menyokong kos untuk berkhidmat kepada lebih sembilan juta alamat di seluruh negara di bawah Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO)," katanya.

Mohamed Rozaidi berkata, pada awal penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat penurunan permintaan bagi perkhidmatan pos.

Pandemik ini juga katanya, membawa perubahan pada tingkah laku pengguna yang memberi kesan jangka masa panjang terhadap perniagaan runcit, penerbangan dan logistik Pos Malaysia.

"Secara retrospektif, inisiatif yang dilakukan di bawah rancangan transformasi Pos Malaysia sememangnya tepat pada masa dan menyesuaikan syarikat dengan perilaku pelanggan yang kian berubah.

"Selain itu, apabila semakin ramai pengguna dan perniagaan beralih ke e-dagang, kejayaan rancangan transformasi ini amat penting bagi Pos Malaysia untuk memanfaatkan peluang dalam norma baharu," katanya.

Untuk memenuhi permintaan e-dagang yang meningkat, Pos Malaysia kini fokus kepada digitalisan, pengoptimuman kos dan pengalaman pelanggan sebahagian daripada perjalanan transformasi.

Ini kerana e-dagang memberi peluang besar kepada Pos Malaysia dan terus melabur bagi meningkatkan rantai nilai perniagaan kurier seiring dengan ledakan e-dagang.

Kata Mohamed Rozaidi, pendigitalisan adalah komponen penting dalam strategi transformasi Pos Malaysia yang memegang kunci untuk meningkatkan kecekapan operasi dan meningkatkan cara pelanggan berhubung dengan syarikat.

"Fungsi pendigitalisan terhadap pelanggan menjadi keutamaan dan ia dapat dicapai melalui pengenalan saluran perkhidmatan pelanggan digital memungkinkan pelanggan menghubungi Pos Malaysia dengan mudah melalui laman web dan media sosial.

"Pos Malaysia percaya, dengan kemajuan teknologi seperti automasi pusat penyusunan bungkusan, ia adalah kunci memberikan penghantaran yang lebih cepat dan memberikan kelebihan daya saing kepada pelanggan. Untuk Pos Malaysia, ia membolehkan pengoptimuman kos," katanya.

Inisiatif transformasi itu juga sangat penting kepada Pos Malaysia bagi mengembangkan perniagaan dan meningkatkan penawarannya bagi memenuhi janji jenama itu dengan berkesan sekali gus kekal sebagai penyedia perkhidmatan pilihan di Malaysia.

"Usaha yang memfokuskan ke arah mencipta pengalaman pelanggan yang baik dengan memberi kemudahan dan jaminan perkhidmatan untuk memenuhi harapan pelanggan.

"Pelan transformasi Pos Malaysia berjalan seperti yang dirancang dan kami berada dalam posisi yang baik untuk memanfaatkan peluang dalam norma baharu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 6:00 AM