ZAITUN menjaga suaminya yang lumpuh dan tidak boleh bercakap di rumahnya di Kampung Jerek.  FOTO Ramli Ibrahim
ZAITUN menjaga suaminya yang lumpuh dan tidak boleh bercakap di rumahnya di Kampung Jerek. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: "Biarpun terpaksa mencatu makanan, keperluan perbelanjaan suami yang lumpuh lebih utama.

"Ketika mula berkahwin dulu, kami sudah berjanji untuk saling menjaga hingga akhir hayat," kata Zaitun Hassan, 48, ketika ditemui di Kampung Jerek, dekat sini, hari ini.

Suami Zaitun, Zulkfli Muhamed, 54, terlantar akibat lumpuh serta tidak boleh bercakap dan memerlukan penjagaan rapi termasuk makanan hariannya yang hanya bergantung pada susu.

Menurut Zaitun, suaminya yang sebelum ini menjadi tempatnya bergantung hidup bersama dua anak ditakdirkan lumpuh selepas terjatuh bangunan.

"Suami bekerja sebagai buruh binaan tetapi nasib tidak baik apabila dia terjatuh dari bangunan dua tingkat lebih dua tahun lalu.

"Dia menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Kuala Krai beberapa bulan selepas kejadian dan dibenarkan pulang ke rumah kerana sukar dipulihkan," katanya, hari ini.

Zaitun berkata, kini dia hanya bergantung dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan selain mencari rezeki dengan menjual karipap di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek.

"Pendapatan jual karipap RM30 sehari. Setiap bulan perbelanjaan kami hampir RM2,000 kerana suami memerlukan 15 tin susu sebulan serta lampin pakai buang.

"Suami perlu diberi susu melalui tiub khas yang ditebuk di perutnya sebanyak tujuh kali sehari. Semua perbelanjaan itu tidak termasuk belanja harian kami bersama dua anak, termasuk seorang yang masih bersekolah," katanya.

Katanya, dia reda dengan ketentuan Ilahi apabila suaminya ditakdirkan dalam keadaan begitu dan dia tidak pernah sesekali kesal terpaksa bekerja keras untuk menampung hidupnya sekeluarga, meskipun hanya sekadar menjual karipap.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zaitun di talian 01119965270.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 10:56 AM