Syaherah Mustafa


Pasir Mas: "Sejak suami diserang angin ahmar, perit hidup dirasai apabila saya terpaksa belajar menoreh getah sehinga tangan luka kerana pisau toreh yang tajam."

Begitu kata Nik Rizan Korseng, 37, apabila suaminya Abdul Aziz Mat Noor, 47, hanya terlantar selepas lumpuh separuh badan sejak hampir dua bulan lalu.

Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan mereka sekeluarga hilang tempat bergantung untuk membesarkan tiga anak berusia tujuh hingga 11 tahun.

Bagaimanapun, Nik Rizan tidak patah semangat kerana berusaha menjaga suaminya dengan baik dan mengambil inisiatif menoreh getah atau mengumpul getah sekerap walaupun hasilnya tidak seberapa.

"Rutin harian saya bertukar di mana setiap pagi saya akan uruskan suami untuk mandi dan memberi ubat selain memberi makan buat anak-anak, sebelum turun ke kebun getah jika cuaca baik tidak hujan.

Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar (kanan) menyampaikan sumbangan susu, lampin pakai buang, katil dan kerusia roda kepada ketika lawatanya ke rumah Nik Rizan. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Wakil YRS, Tuan Zaimah Raja Omar (kanan) menyampaikan sumbangan susu, lampin pakai buang, katil dan kerusia roda kepada ketika lawatanya ke rumah Nik Rizan. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

"Sejujurnya, ada masa saya tidak dapat menahan air mata mengenangkan nasib kami selain risau dengan keadaan suami.

"Suami hampir setiap hari menangis mungkin sedih melihat saya perlu menguruskanya, selain rindu untuk bermesra dengan anak-anak seperti dulu," katanya ketika ditemui di Kampung Teluk Sawa, Tok Uban, di sini.

Nasib keluarga ini mendapat perhatian Yayasan Raja Shamri (YRS) yang menyampaikan sumbangan kewangan, katil, kerusi roda, lampin pakai buang dan susu khas.

Nik Rizan berkata, sejak sakit, suaminya sering memberitahu soal kematian, dan dia sentiasa memberi kata-kata semangat agar lelaki itu kembali sihat seperti biasa.

Katanya, dia akan terus cekal dan diberi kekuatan demi menjaga suami selain berharap diberi kesembuhan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 03-027-02-030687-2 atas nama Abdul Aziz Mat Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 3:28 PM