GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Taksub dengan permainan dalam talian yang kononnya menawarkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat mengakibatkan seorang peniaga barangan kecantikan kerugian RM62,340 ditipu penganjur permainan berkenaan.

Mangsa wanita berusia 42 tahun dari Sungai Dua, di sini tertarik untuk bermain permainan secara dalam talian pada 16 Oktober lalu selepas melayari satu aplikasi bernama 'Rela' sebelum berkenalan dengan seorang penganjur wanita tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa kemudian berkomunikasi dengan penganjur berkenaan melalui WhatsApp sebelum ditawarkan permainan yang boleh memberi keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.

"Mangsa diumpan dengan keuntungan awal berjumlah RM 6,820 lalu tertarik dengan pelawaan itu.

"Namun untuk meneruskan permainan itu ke peringkat selanjutnya mangsa perlu membuat beberapa bayaran tambahan.

"Tanpa sedar mangsa melakukan 10 transaksi ke tujuh akaun bank diberikan suspek yang kesemuanya berjumlah RM62,340 dari 16 hingga 22 Oktober lalu," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa akhirnya sedar ditipu selepas penganjur permainan itu gagal dihubungi.

"Mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

"Polis masih menjalankan siasatan bagi memperoleh maklumat akaun individu terbabit," katanya.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah terjebak dengan sindiket permainan dalam talian kerana hakikatnya tiada permainan dapat memberi keuntungan mudah dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:23 PM