GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Empat sindiket penipuan pelaburan ditumpaskan polis hasil beberapa siri serbuan di ibu kota ini, Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan bermula Februari hingga awal Mac ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, susulan itu pihaknya memberkas 21 individu membabitkan 19 lelaki dan tiga wanita dalam serbuan berkenaan.

"Mereka yang ditahan dalam serbuan itu dipercayai terbabit dalam penipuan pelaburan Likeshare, Zan Zan Lee, Isharefans dan E-Currency Investment Bitcoin.

"Kami merampas 28 telefon bimbit, 17 kad ATM, 11 kad kredit, 1 kad big pay, dua komputer, tiga komputer riba, satu tablet, tiga modem, satu router, sembilan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dua buku cek, satu cop perniagaan, salinan resit pelaburan dan wang tunai berjumlah RM11,930," katanya tadi.

Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mempromosikan iklan tawaran pelaburan di platfom media sosial seperti Facebook.

"Mangsa yang tertarik akan mengikut arahan sindiket terbabit dengan membuat pelaburan dalam nilai yang rendah dan dijanjikan pulangan berganda dalam tempoh singkat.

"Mangsa yang tamak kemudian akan melabur dalam jumlah yang besar sebelum suspek memutuskan perhubungan dengan mangsa selepas menerima wang," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah percaya dengan iklan promosi pelaburan di media sosial selain membuat semakan dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan status skim pelaburan syarikat berkenaan.

"Harus diingat bahawa skim pelaburan berdaftar dan diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia tidak akan menjanjikan keuntungan terlalu besar dalam tempoh singkat.

"Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan pelaburan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 5:46 PM