ABANG Johari Abang Openg ketika melawat Pasaraya Mydin baru-baru ini.
ABANG Johari Abang Openg ketika melawat Pasaraya Mydin baru-baru ini.
Mohd Roji Kawi


SEJUMLAH RM1.1 bilion diperuntukkan kerajaan Sarawak dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0 (BKSS 2.0) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana, perusahaan mikro serta penjaja dan peniaga kecil untuk mengekalkan perniagaan mereka akibat kesan wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, pakej rangsangan ekonomi itu adalah lanjutan kepada Pakej Sarawakku Sayang bernilai RM1.15 bilion yang diumumkannya pada 23 Mac lalu.

Beliau berkata, pakej bantuan tambahan itu khusus untuk membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung pihak terbabit untuk memastikan kesinambungan perusahaan mereka dalam tempoh yang sukar ini.

“PKS, Perusahaan Mikro serta penjaja dan peniaga kecil adalah pemacu utama kepada ekonomi Sarawak yang membentuk lebih daripada 75 peratus daripada sektor perniagaan dan menyumbang 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak serta menyediakan kira-kira 600,000 pekerjaan untuk rakyat Sarawak.

“Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertindak balas terhadap masalah yang dihadapi oleh PKS, Perusahaan Mikro serta peniaga dan peniaga kecil agar mereka dapat terus berdaya tahan dalam menghadapi tekanan ekonomi yang memberi kesan kepada kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi tambahan itu di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, langkah yang akan dilaksanakan dalam BKSS 2.0 itu ialah kadar faedah percuma untuk pinjaman PKS dan geran khas bernilai RM1,500 untuk penjaja dan peniaga kecil menerusi Sarawak Pay.

“Kita juga menghapuskan kadar faedah 2 peratus kepada sifar peratus untuk tempoh tiga tahun setengah bagi kredit mikro.

“Sebelum ini, saya sudah mengumumkan diskaun 50 peratus untuk bayaran sewa kedai dan gerai terutamanya di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan dalam BKSS 2.0 ini, kerajaan akan mengecualikan sewa kepada PKS dalam sektor runcit yang beroperasi di premis yang dimiliki oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya.

Abang Johari turut menegaskan, kerajaan Sarawak tidak perlu membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan untuk semua pakej bantuan yang sudah diumumkan itu.

“Ini kerana peruntukan itu disediakan menerusi Dana Kontingensi seperti yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam Bajet 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 5:56 PM