Mohd Amin Jalil

Seremban: Beberapa pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di dekat Jalan Bunga Tanjung 1/1, Senawang Industrial Park dekat sini, disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan berkata, beliau mengesahkan memang berlaku kes positif Covid-19 di sekolah berkenaan tetapi menafikan jumlahnya seperti yang tular sejak semalam.

"Memang ada tetapi bilangan itu tidak betul, petang nanti Ketua Pengarah Kesihatan akan berikan jumlah sebenar.

"Jumlah yang tular itu tidak betul. Saya minta masyarakat tidak panik, jumlah itu memang tidak betul, ia tidak tinggi begitu dan tunggu pengesahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sejak malam tadi, tular mesej di aplikasi WhatsApp bahawa seramai 33 pelajar sekolah berkenaan yang dipercayai positif Covid-19.

Menerusi mesej berkenaan, kesemua 33 pelajar terbabit dibawa ke Hospital Rembau serta pusat kuarantin di Bandar Enstek, Nilai bermula malam tadi.

Kesemua mereka didapati positif selepas pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) membuat ujian saringan kelmarin membabitkan 84 pelajar yang mempunyai kontak rapat dengan seorang pelajar sekolah yang disahkan positif Covid-19 kelmarin.

Menurut mesej itu juga, PKD membuat saringan terhadap baki 75 pelajar semalam, namun keputusannya masih belum diperoleh.

Turut tular video yang memaparkan sebuah bas dan beberapa buah van serta ambulans yang dipercayai digunakan untuk membawa pelajar positif Covid-19 ke Hospital Rembau.

Tinjauan di lokasi yang turut menempatkan asrama pelajar pagi ini mendapati, laluan masuk ke situ dikawal oleh pihak polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selain sebuah pos kawalan sementara turut dibuka.

Sementara itu, Veerapan berkata, ketika ini sekolah terbabit diarahkan tutup bagi membolehkan proses sanitasi dilaksanakan.

 Beberapa anggota pasukan keselamatan berkawal di hadapan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Kawasan Perindustrian Senawang berikutan seramai 33 pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa dipercayai positif koronavirus (Covid-19). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Beberapa anggota pasukan keselamatan berkawal di hadapan Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Kawasan Perindustrian Senawang berikutan seramai 33 pelajar Sekolah Tinggi Islam As Sofa dipercayai positif koronavirus (Covid-19). FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Lagi berita berkaitan Covid-19


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 1:29 PM