NUR Athirah Izzati
NUR Athirah Izzati
Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: “Saya masih trauma. Habis buku, nota, alat tulis dan pakaian saya musnah terbakar,” kata Nur Athirah Izzati Shamsul Murfiz, 17, penghuni asrama perempuan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Kampung Nesarau, Kota, yang musnah dalam kebakaran, pada Khamis lalu.

Pelajar tingkatan lima terbabit adalah penghuni pertama yang menyedari asrama sementara berkenaan terbakar sebelum dia mengejutkan rakannya yang lain.

Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, seramai 37 pelajar perempuan berusia 13 hingga 17 tahun yang menghuni asrama itu berjaya menyelamatkan diri, tetapi tiga daripadanya sesak nafas dan dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan sebelum dibenarkan pulang.

Menceritakan kejadian, Nur Athirah berkata, dia tersedar daripada tidur dan melihat ada ‘cahaya’ dari luar asrama.

“Saya tidak menyangka cahaya itu sebenarnya adalah api menyebabkan saya sambung tidur semula. Namun, saya tersedar semula selepas berasa bahang dan melihat api sedang marak.

“Saya menjerit dan mengejutkan rakan yang lain. Kami berlari keluar untuk menyelamatkan diri dan tidak sempat mengambil barang-barang kami,” katanya ditemui pada majlis penyampaian sumbangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di Pasaraya Mydin Senawang, di sini, semalam.

Nur Athirah yang berasal dari Rawang, Selangor, berkata, dia mahu melupakan tragedi itu yang hampir meragut nyawanya dan 36 penghuni lain.

KAMAL  (kanan) menyampaikan sumbangan baucar bernilai RM400 kepada mangsa kebakaran Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Kampung Nesarau, Kota, Rembau.
KAMAL (kanan) menyampaikan sumbangan baucar bernilai RM400 kepada mangsa kebakaran Sekolah Tinggi Islam As Sofa, Kampung Nesarau, Kota, Rembau.

“Walaupun sukar untuk melupakannya, saya tidak mahu ia mengganggu fokus saya terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan diambil bulan depan,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Aireen Badrisya Azrienne, 15, yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) minggu depan berkata, tragedi itu bukan penghalang untuknya menumpukan perhatian pada peperiksaan itu.

Meskipun semua bukunya hangus terbakar, dia bersyukur kerana guru dan rakan sekolah lama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Kubu Bharu, Selangor membantu memberikan buku kepadanya.

“Saya akan memberi tumpuan menghadapi peperiksaan itu dan pihak pengurusan sekolah juga sudah membenarkan kami kembali ke sekolah dan menginap di asrama sementara hari ini (semalam),” katanya.

Pada majlis itu, Setiausaha MAINS Kamal Amran menyampaikan sumbangan baucar Mydin bernilai RM400 untuk digunakan pelajar terbabit membeli pakaian dan peralatan sekolah yang baru.

Sementara itu, Kamal berkata, sumbangan terbabit bertujuan membantu meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda mereka dalam kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 11:09 AM