GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sejumlah 2,720 permohonan merentasi daerah dan sempadan negeri di Selangor ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditolak sehingga semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, secara keseluruhannya, Polis Selangor menerima 33,467 permohonan sehingga semalam, dengan 30,747 permohonan diluluskan dan 2,720 permohonan gagal kerana alasan tidak munasabah dan tidak masuk akal.

"Antara alasan yang diberikan adalah jumpa kawan lama dan hendak ambil barang. Bila ditanya lebih lanjut, mereka tidak dapat memberikan jawapan yang munasabah dan jawapan mereka tidak meyakinkan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Polis Selangor mendirikan 63 SJR dalam tempoh 24 jam dengan tumpuan terhadap sempadan daerah dan zon merah.

Noor Azam berkata, orang ramai yang mempunyai urusan penting atau bekerja di daerah lain perlu mempunyai surat kebenaran atau pas bekerja.

"Untuk mereka yang mempunyai hal kecemasan boleh mendapatkan kebenaran rentas daerah atau negeri dari mana-mana balai polis berhampiran lokasi mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 10:33 AM