Asrol Awang

Kuantan: Seramai 350 individu dikesan mencuba nasib untuk merentas negeri ke Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang kini dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, bagaimanapun, hasrat mereka untuk rentas negeri ditolak kerana tidak menepati syarat dibenarkan.

Beliau berkata, antara alasan diberikan untuk ke negeri terbabit ialah hubungan suami isteri jarak jauh manakala ramai gagal memberikan bukti kukuh untuk meyakinkan pihak berkuasa supaya meluluskan permohonan mereka.

"Sepatutnya mereka perlu faham bahawa pelaksanaan PKPB bertujuan untuk menyekat penularan wabak Covid-19 ke kawasan lain.

"Tidak timbul isu polis tidak prihatin kerana pelaksanaan PKPB untuk memastikan keselamatan dan menyekat peningkatan kes wabak terbabit.

"Dalam hal ini, sebaiknya tangguhkan dulu segala urusan ke negeri terbabit jika tiada sebarang keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Pasar Sejahtera Ikan Segar Beserah, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya meluluskan 830 permohonan rentas negeri bermula pada 14 Oktober lalu sehingga hari ini.

Menurutnya, kelulusan itu selepas meneliti permohonan termasuk mereka mempunyai surat pengesahan daripada majikan atas dasar kerja.

Katanya, tanpa dokumen lengkap, pihaknya tidak akan meluluskan sebarang permohonan rentas negeri.

GAMBAR hiasan. FOTO ASWADI ALIAS.
GAMBAR hiasan. FOTO ASWADI ALIAS.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 4:42 PM