HALIMATON Saadiah (empat dari kiri) bersama anggota APM serta kakitangan UUM mengangkat barangan makanan yang akan diagihkan kepada penuntut di pusat kuarantin di UUM, Sintok. FOTO Amran Hamid
HALIMATON Saadiah (empat dari kiri) bersama anggota APM serta kakitangan UUM mengangkat barangan makanan yang akan diagihkan kepada penuntut di pusat kuarantin di UUM, Sintok. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman

Sintok: Kerajaan Kedah membelanjakan RM1.1 juta bagi membantu penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran di negeri itu sejak kewujudan pelbagai kluster Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan negeri Halimaton Saadiah Saad berkata, bantuan itu membabitkan wang tunai sebanyak RM200 bagi setiap keluarga di Zon Melor Amanjaya, Sungai Petani dan Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak, Alor Setar.

"Jumlah ini tidak termasuk sumbangan bekalan makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan individu.

"Kerajaan negeri tidak mengabaikan kebajikan penduduk yang menghadapi masalah mendapatkan bekalan makanan berikutan mereka tidak dibenarkan keluar dari rumah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada pelajar di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Kolej Kediaman Bukit Kachi, Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Halimaton, berkata kerajaan negeri turut menggalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta dan NGO untuk menyalurkan sumbangan kepada penduduk terjejas Covid-19.

Katanya, penghantaran bekalan barangan makanan kepada penduduk yang dikuarantin akan diurus oleh petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Jika ada pihak yang hendak salurkan sumbangan kepada pelajar di pusat kuarantin di sini mereka boleh menghubungi Pusat Kebajikan Pelajar, UUM untuk maklumat lanjut," katanya.

Sementara itu, Halimaton berkata, seramai 246 penuntut UUM dikuarantin dan menerima rawatan di pusat kuarantin dan sejak 9 Oktober lalu.

Katanya, dalam tempoh itu, seramai 26 penuntut disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Bah Sintok.

"Ahad ini mereka akan menjalani saringan kali kedua dan sekiranya semua negatif pusat ini akan ditutup," katanya.

Julai lalu, penduduk di Kedah dikejutkan dengan kewujudan Kluster Sivagangga di kawasan Napoh disusuli beberapa kluster lain seperti Kluster Tawar, Kluster Muda, Kluster Sungai dan terkini yang masih aktif namun terkawal antaranya adalah Kluster Tembok, dan Kluster Bah Sintok.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 4:53 PM