GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penduduk di daerah terbabit dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kelantan dan Kedah menerima bantuan bekalan makanan yang disalurkan kerajaan negeri masing-masing.

Pek bekalan dan bakul makanan itu adalah bagi membantu meringankan beban penduduk berikutan penguatkuasaan PKPD di daerah terbabit dalam usaha mengekang penularan Covid-19 yang menunjukkan trend peningkatan setiap hari.

Di Kota Bharu, sumbangan pek bekalan makanan asas bernilai RM100 diberikan kepada 760 keluarga yang tinggal di kawasan pelaksanaan PKPD di Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu dan Kampung Terusan, Mukim Limbat di sini.

Ketua Jajahan Kota Bharu Rosnazli Amin berkata, PKPD di Kampung Pauh Lima membabitkan 260 rumah dan pek makanan yang diedarkan memberi manfaat kepada 1,200 penduduk manakala sejumlah 500 pek makanan diedarkan di Kampung Terusan, membabitkan 1,300 penduduk.

"Sumbangan pek makanan itu diberikan setiap tiga hari dan diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Selain itu, pimpinan politik setempat turut menyumbangkan bekalan makanan basah seperti ikan, sayur dan ayam kepada penduduk di kawasan masing-masing," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga berkata, pihak pengurusan Pondok Pasir Tumboh yang terletak dalam kawasan PKPD Kampung Terusan bersetuju menyediakan makanan yang siap dimasak untuk 35 hingga 40 pelajar.

PKPD di Kampung Pauh Lima di Mukim Banggu bermula Rabu lalu hingga 1 Jun manakala di Kampung Terusan dekat Pasir Tumboh di Mukim Limbat bermula semalam hingga 4 Jun.

Di Jitra, kerajaan Kedah menyediakan 7,000 bakul untuk penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan PKPD di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kebajikan negeri Halimaton Shaadiah Saad berkata, sejumlah 5,000 bakul makanan diperuntukkan kepada penduduk di 28 mukim dalam daerah Kota Setar manakala selebihnya untuk penduduk di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah di Kubang Pasu.

"Bantuan ini bersasar untuk penduduk yang benar-benar terputus bekalan makanan. Mereka perlu menghubungi PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) daerah masing-masing untuk pihak kita tahu yang mereka tiada makanan dan bantuan boleh disalurkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa agihan barangan makanan termasuk 400 kilogram ikan kembung sumbangan kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk di sekitar Lubuk Kawah hari ini.

Daerah Kota Setar dikenakan PKPD bermula Rabu lalu hingga 1 Jun manakala Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah mulai Selasa lalu hingga 31 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 7:41 PM