GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Mukim Taiping kini diisytihar sebagai zon merah selepas merekodkan 77 kes Covid-19 dalam tempoh dua minggu.

Jabatan Kesihatan Perak menerusi kenyataan di Facebook rasmi berkata, ia susulan pertambahan 48 daripada keseluruhan 52 kes jangkitan terbaharu di Perak yang direkodkan semalam (15 Oktober) adalah dari mukim berkenaan.

Katanya, 48 jangkitan terbaharu itu membabitkan lelaki berusia antara 35 hingga 65 tahun yang juga tahanan di sebuah pusat tahanan dalam daerah Larut Matang dan Selama (LMS) di Kamunting, di sini.

Menurut maklumat itu, saringan Polymerase Chain Reaction (PCR) COVID-19 kali pertama dilakukan terhadap kesemua kes berkenaan pada 3 Oktober lalu memandangkan mereka adalah kontak rapat kepada satu kes positif Covid-19, dengan keputusan menunjukkan negatif.

"Satu kes positif itu mempunyai sejarah pergerakan ke Penjara Alor Setar pada 27 dan 28 September 2020. Bagaimanapun pada 10 Oktober lalu, terdapat individu bergejala demam dan menerima rawatan di klinik pusat tahanan terbabit.

"Seterusnya pada 13 Oktober 2020, sampel kedua ujian PCR diambil, dengan keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) kedua pada 14 Oktober 2020 menunjukkan positif. Semua kes ini adalah jangkitan tempatan," katanya.

Beliau berkata, kesemua yang kini disahkan positif terbabit berada di pusat tahanan berkenaan sepanjang tempoh 14 hari yang lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, semua 52 kes terbaharu itu sudah diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Pengesanan kontak sedang dijalankan," katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata terdapat kluster baharu dikesan di Perak, semalam, iaitu Kluster Bah Pengkalan yang juga kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko iaitu Sabah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 8:40 AM