GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua kes positif Covid-19 baharu di Sarawak hari ini dilaporkan berlaku di Lawas sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 706 kes.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kedua-dua kes itu adalah lelaki warga tempatan yang juga petugas barisan hadapan di Pos Kawalan Sempadan Sarawak-Sabah di Merapok.

"Mereka disaring pada 20 September kerana disyaki mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 semasa bertugas di pos sempadan itu.

"Sampel saringan kes dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Sabah dan ujian Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (rT-PCR) pada 26 September (semalam) mendapati sampel saringan mereka adalah positif Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap itu berkata, seorang daripada kes itu menunjukkan tanda dan gejala awal jangkitan Covid-19 pada 7 September manakala seorang lagi tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

"Kedua-dua kes dirujuk ke Hospital Miri hari ini untuk rawatan lanjut dan siasatan awal menunjukkan kedua-dua kes tidak mempunyai sejarah perjalanan keluar negara atau melawat kawasan berstatus merah di Sabah.

"Punca jangkitan kedua-dua kes itu masih dalam siasatan lanjut dan hasil siasatan awal menjurus kepada berkemungkinan mereka mendapat jangkitan ketika menjalankan tugas sebagai petugas barisan hadapan di pos sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 6:35 PM