Anggota polis melakukan pemeriksaan sekatan jalan raya di Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam hari ini. Foto Muhd Asyraf Sawal
Anggota polis melakukan pemeriksaan sekatan jalan raya di Plaza Tol Bukit Jelutong, Shah Alam hari ini. Foto Muhd Asyraf Sawal
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Polis menahan seramai 390 individu yang melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 386 individu dikompaun manakala empat individu pula direman.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Task Force Operasi Pematuhan membabitkan 2,339 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 10,483 anggota melakukan 43,240 pemeriksaan semalam.

"Pemeriksaan bagi memantau dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang sudah memasuki hari ke-127 semalam.

"Sebanyak 3,097 pasar raya, 3,998 restoran serta 958 penjaja dan 1,145 pasar awam atau diperiksa.

"Turut diperiksa, 3,002 tempat ibadat serta 1,325 tempat riadah," katanya dalam sidang media maya hari ini mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-212 dan hari ke-128 PKPP dilaksanakan.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, Ops Benteng semalam berjaya menahan 23 pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga penyeludup serta berjaya merampas lima bot dan lima kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 282 sekatan jalan raya (SJR) Ops Benteng juga dilakukan di seluruh negara membabitkan PDRM (204 SJR), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak 68 SJR dan Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKSEM) sebanyak 10 SJR.

Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula katanya, sejak 30 Mac lalu melakukan 10,458 operasi sanitasi merangkumi 135 zon.

"Semalam, sebanyak 20 operasi sanitasi meliputi empat zon merah, lapan zon kuning dan tiga zon hijau.

"Operasi sanitasi ini membabitkan 108 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 147 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lima dari agensi lain.

"Sebanyak 10 jentera JBPM turut digunakan dalam Operasi Sanitasi Awam," katanya.

Berhubung kuarantin wajib, katanya, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 48,461 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 9,477 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 71 hotel dan 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

"Seramai 381 individu pula sudah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 38,603 individu discaj dan dibenarkan pulang ke rumah.

"Sementara itu, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 7:36 PM