MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) semalam melakukan 28 tangkapan dalam Operasi Benteng selepas menahan 83 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan masing-masing seorang tekong dan penyeludup.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi membabitkan pelbagai agensi penguat kuasa negara itu bagi mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati untuk mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan Covid-19.

Katanya, operasi di bawah NTF membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

"Dalam operasi itu (tangkapan Pati) NTF turut merampas lima kenderaan darat dan satu bot.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa ini akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan, terutama di lorong-lorong tikus," katanya yang turut memaklumkan 79 sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan semalam, membabitkan PDRM (65 SJR), Aksem (10 SJR), dan ATM (empat SJR).

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pemulihan (PKP) hari ke-171 dan hari ke-87 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, katanya, mengenai operasi sanitasi awam Covid-19 di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu, sebanyak 9,829 operasi sanitasi dijalankan merangkumi 134 zon.

"Sebanyak 12,928 premis sudah disanitasi yang terdiri daripada 2,705 pusat perniagaan, 5,697 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,574 tempat awam dan 354 pasar raya.

"Semalam, sebanyak 14 operasi sanitasi dilakukan meliputi 10 zon kuning dan lapan zon hijau. Ia membabitkan lima negeri iaitu Sarawak (tujuh operasi), Melaka (tiga operasi), Sabah (dua operasi) serta masing-masing satu operasi di Johor dan Putrajaya," katanya.

Katanya, operasi sanitasi ini membabitkan 86 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 70 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT), selain tujuh jentera JBPM turut terbabit dalam operasi sanitasi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 4:01 PM