GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 12,827 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib dan 543 individu dihantar ke hospital untuk rawatan sejak 24 Julai lalu sehingga semalam.

Menteri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 86,398 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sepanjang tempoh itu,

"Mereka ditempatkan di 78 hotel dan 19 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah, Labuan dan Melaka.

"Seramai 73,028 individu dibenarkan pulang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, semua individu berkenaan pulang dari 36 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran dan Nepal.

"Selain itu, ada di antara mereka yang pulang dari Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Ethiopia, Maldives dan Oman," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Op Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu melakukan 12,550 operasi sanitasi merangkumi 137 zon.

"Sebanyak 14,459 premis disanitasi yang terdiri daripada 2,900 pusat perniagaan, 1,681 kawasan perumahan termasuk PPR, 2,868 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,653 bangunan kerajaan.

"Sebanyak 39 operasi sanitasi meliputi 11 Zon Merah, tiga Zon Jingga, 10 Zon Kuning dan lima Zon Hijau membabitkan 11 negeri," katanya.

Ismail berkata, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di 689 premis perniagaan termasuk peruncit (518), pemborong (143) dan pengilang (28), semalam.

"Secara keseluruhannya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga melakukan 525 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan kesemua premis yang diperiksa mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial serta kebersihan diri terutama dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:13 PM