Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlangsung di mukim Klang, terbatal susulan pelaksanaan PKPB di seluruh Selangor, bermula hari ini.

"Oleh kerana kerajaan telah umumkan PKPB seluruh Selangor dan termasuk dalamnya (adalah) mukim Klang, maka SOP yang diumumkan untuk mukim Klang secara automatik adalah terbatal.

"Oleh itu, SOP PKPB seluruh Selangor adalah terpakai juga bagi mukim Klang," kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Klang sebelum ini dikenakan PKPB bermula 9 Oktober hingga 23 Oktober berikutan peningkatan kes Covid-19.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 12,877 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan di Sabah sejak Januari hingga semalam dengan 5,204 Pati masih berada di pusat tahanan.


Katanya, daripada jumlah tahanan itu, 4,456 orang adalah warganegara Filipina, 618 warganegara Indonesia, manakala 130 lain-lain negara.

"Sehingga kini, seramai 7,673 Pati sudah dihantar pulang. Ops Benteng di Sabah pula membabitkan 3,493 anggota pelbagai agensi penguatkuasaan, 10 kapal serta 54 bot pemintas," katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan sempena Covid-19, hari ini.

Menurutnya, setakat semalam juga, 284 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan 278 individu dikenakan kompaun dan enam direman.


Tidak memakai pelitup muka antara kesalahan tertinggi masih dicatatkan iaitu 134 individu diikuti penjarakan fizikal (68), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (33), melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) (20), premis beroperasi lebih masa (16), aktiviti di pusat hiburan (8) dan enggan menjalani ujian saringan Covid-19 (3).

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 48,098 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 68 hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 9,919 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 37,798 individu telah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

ALIRAN trafik sesak selepas penutupan Jambatan Musaeddin, Jalan Tengku Kelana di Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
ALIRAN trafik sesak selepas penutupan Jambatan Musaeddin, Jalan Tengku Kelana di Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 6:32 PM