Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

HANYA empat kawasan masih berstatus merah berikutan mencatat lebih 40 kes positif Covid-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kawasan itu, Mukim Batu, Gombak, Selangor; Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur; Zon Kampung Baharu, Mukim Bandar, Kuala Lumpur; dan Mukim Pedas, Daerah Rembau, Negeri Sembilan.

Jumlah itu merangkumi 0.34 peratus daripada 1,178 kawasan.

"Kita telah berjaya menjadikan hampir seluruh mukim atau zon di negara kita berstatus hijau, dengan kawasan ini tidak mencatatkan sebarang kes positif Covid-19 dalam tempoh dua minggu lalu.

"Sebanyak 1,112 atau 94.4 peratus mukim, bahagian, zon, sub-zon dan presint di seluruh negara dikategorikan sebagai hijau, manakala 62 atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai kuning dan 0.34 peratus lagi merah.

"Ini hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh petugas barisan hadapan dan disiplin saudara-saudari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan," katanya.


Bagaimanapun beliau mengingatkan penduduk di kawasan hijau supaya tidak menganggap diri sudah selamat dan boleh bergerak dengan bebas.

"Saya nak ingatkan semua yang virus Covid-19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

"Jadi bagi penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua selamat dan tidak akan dijangkiti," katanya yang meminta rakyat supaya terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan sebagai amalan normal baharu.

PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia membuat bancian rumah ke rumah penduduk sekitar Petaling Jaya Old Town di Jalan Othman yang dikuatkuasa sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan penularan Covid-19. FOTO Fathil Asri
PETUGAS Kementerian Kesihatan Malaysia membuat bancian rumah ke rumah penduduk sekitar Petaling Jaya Old Town di Jalan Othman yang dikuatkuasa sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berikutan penularan Covid-19. FOTO Fathil Asri

Berita berkaitan:

  • 'Terima kasih saudara saudari...'
  • 'Jika SOP teratur, masjid sedia untuk dibuka'
  • Suami isteri tinggal berjauhan boleh rentas negeri
  • Hanya 4 kawasan merah
  • Permohonan BPN tidak lulus, boleh rayu lagi
  • Beraya dalam negeri sahaja
  • PKPB dilanjutkan 4 minggu

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:02 PM