Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Peningkatan kes Covid-19 khususnya di Lembah Klang tidak bermakna Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan, gagal dan tidak berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes direkodkan membuktikan aktiviti pengesanan aktif dan kesihatan awam berjalan dengan efektif.

Menurutnya, setakat ini kes positif direkodkan di Lembah Klang adalah daripada kluster tapak binaan dan bukan dalam kalangan komuniti.

"PKPB di Lembah Klang tidak gagal kerana kes aktif direkodkan membabitkan pesakit dari tapak binaan dan bukan dalam kalangan komuniti.

"Pengesanan aktif kes dan kesihatan awam membolehkan penularan dalam kalangan masyarakat dihalang," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Tinjauan aliran trafik lengang dari arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar  di Plaza Tol Bandar Ainsdale berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Tinjauan aliran trafik lengang dari arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar di Plaza Tol Bandar Ainsdale berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dapat dilaksanakan di Lembah Klang kerana kerajaan perlu mengimbangi antara kesihatan dan ekonomi.

Beliau berkata, kira-kira 40 peratus sektor ekonomi tertumpu di Lembah Klang dan ia perlu diseimbangkan agar tidak memberi impak negatif kepada ekonomi.

"Kerajaan mahu ekonomi bergerak dan pada masa sama mengawal aktiviti sosial rakyat dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Jika kepatuhan rakyat semakin meningkat, kita yakin dapat menurunkan kadar kes positif dalam tempoh dua minggu akan datang," katanya.



Beliau berkata, setakat ini fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih mampu menampung keperluan pesakit walaupun berlaku peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, KKM sudah bersedia untuk menambah kapasiti katil di fasiliti sedia ada seperti di Institut Latihan KKM, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Kusta di Hospital Sungai Buloh, Hospital Rehalibitasi dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, satu kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Matambai.

"Kluster baharu ini membabitkan daerah Kota Kinabalu dan Penampang di Sabah dengan 23 kes positif direkodkan.

"Semua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Penjara Wanita Kepayan serta Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2020 @ 7:32 PM