NIK Ezanee ketika sidang media. FOTO Genesv Gulitah
NIK Ezanee ketika sidang media. FOTO Genesv Gulitah
BERNAMA

Petaling Jaya: Polis membuka kertas siasatan terhadap sebuah kelab golf di sini yang dipercayai ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masih melakukan aktiviti walaupun telah diberi notis penutupan semalam susulan beberapa pekerjanya dilaporkan positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan di Balai Polis Damansara daripada pihak KKM semalam yang mendakwa premis berkenaan yang sepatutnya ditutup mulai Ahad, melanggar syarat arahan penutupan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana ingkar PKP," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan asrama pekerja kelab golf berkenaan.

Terdahulu, Nik Ezanee membuat pemantauan di asrama pekerja kelab golf itu yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula hari ini sehingga 25 Okt susulan kes positif Covid-19 membabitkan pekerja yang tinggal di asrama itu.

Setakat ini, 23 pekerja warga tempatan dan warga asing di asrama pekerja kelab berkenaan dilaporkan positif Covid-19.

Jelasnya, 11 individu yang positif dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan manakala 12 lagi masih berada di asrama berkenaan dan akan dibawa ke hospital hari ini.

Menurut beliau, 597 pekerja lagi dijangka menjalani saringan Covid-19 yang dijadualkan Rabu ini.

Nik Ezanee berkata, 20 anggota polis ditempatkan untuk memantau kawasan kelab itu.

Selain itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak mengambil mudah dengan penularan wabak ini yang semakin meruncing di kawasan Petaling Jaya dengan menjaga keselamatan dan kebersihan diri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 3:13 PM