LELAKI yang ditahan polis selepas didapati melanggar arahan kuarantin apabila keluar rumah untuk ke bengkel di Jalan SS 21/34, Damansara, Petaling Jaya. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI yang ditahan polis selepas didapati melanggar arahan kuarantin apabila keluar rumah untuk ke bengkel di Jalan SS 21/34, Damansara, Petaling Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tindakan seorang lelaki yang memakai gelang berwarna putih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) keluar dari rumah untuk membaiki motosikal di Jalan SS 21/34, Damansara, di sini, mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditahan pada jam 4 petang.

"Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan berada di lokasi itu kerana mahu membaiki motosikalnya di bengkel berhampiran.

"Lelaki itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut akan dilakukan selepas tempoh kuarantinnya selama 14 hari tamat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau memberi amaran kepada mereka yang dikenakan perintah kuarantin oleh KKM supaya patuh kepada arahan ditetapkan.

"Kami akan memastikan orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang gagal mematuhi arahan ditetapkan serta enggan memberi kerjasama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2020 @ 6:31 PM