Anggota polis dibantu anggota Majlis Perbandaran Petalinga Jaya (MBPJ) ketika menutup jalan persimpangan Persiaran Sungai Buloh dan Jalan Sungai Buloh bagi tujuan perlaksanaan PKPB pada Selasa lalu. Foto Asyraf Hamzah
Anggota polis dibantu anggota Majlis Perbandaran Petalinga Jaya (MBPJ) ketika menutup jalan persimpangan Persiaran Sungai Buloh dan Jalan Sungai Buloh bagi tujuan perlaksanaan PKPB pada Selasa lalu. Foto Asyraf Hamzah
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga jalan di Kota Damansara, Petaling Jaya yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibuka semula untuk kemudahan orang ramai.

Jalan yang akan dibuka kembali itu adalah Jalan Persiaran Mahogani, Seksyen 9; Jalan Persiaran Jati, Seksyen 8 serta Jalan Persiaran Sungai Buloh dan pembukaannya berkuat kuasa malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pembukaan semula jalan itu dibuat bagi memberi kemudahan kepada rakyat dan juga petugas barisan hadapan yang bekerja di lapangan.

"Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, pengaturan semula pergerakan petugas barisan hadapan untuk tugas sekatan jalan raya (SJR) dan juga tugas pemantauan di kawasan tumpuan ramai seperti di pasar raya, pasar, pusat komersial dan riadah," katanya dalam satu kenyataan.

Nik Ezanee berkata, polis akan menggerakkan sumber manusia sedia ada ke kawasan PKPB untuk melakukan tugasan seperti rondaan Aberdeen MPV, Op Cantas serta tugas lain yang diperlukan.

Sebelum ini, kerajaan mengisytiharkan bahawa PKPB akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya disebabkan peningkatan kes positif Covid-19 saban hari.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 1:05 AM