JEMAAH mematuhi SOP di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
JEMAAH mematuhi SOP di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Tiada cadangan untuk mengubah prosedur operasi standard (SOP) penggunaan masjid dan surau di negeri ini, setakat ini walaupun kes Covid-19 di beberapa negeri meningkat.

Mufti negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil menjelaskan, SOP sedia ada yang dikuatkuasakan Jabatan Mufti negeri melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sejak 3 Julai lalu masih berjalan seperti biasa.

"Bagaimanapun, pegawai JAIM dengan kerjasama polis akan sentiasa menjalankan pemantauan dan jika ada masjid atau surau yang gagal mematuhinya, tindakan tegas akan diambil, termasuk mengeluarkan arahan supaya masjid atau surau itu ditutup," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini berhubung mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memperhalusi SOP masjid dan surau berikutan peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun, mesyuarat yang dijangka pada 5 Oktober lalu itu tidak menjadi kenyataan berikutan Zulkifli dirawat selepas positif Covid-19.

Abdul Halim menjelaskan, setakat ini masjid dan surau dibenarkan menganjurkan program sambutan Maulidur Rasul pada 29 Oktober ini tetapi harus memastikan SOP dipatuhi.

"Mari kita berdoa memohon Allah SWT mengangkat virus Covid-19 dan mengizinkan kita melaksanakan ibadah di masjid dan surau seperti sedia kala dan semoga Allah mengasihani kita," katanya.

Pada 3 Julai lalu, JAIM membenarkan jemaah solat Jumaat di negeri ini melebihi 250 orang.

Bagaimanapun, jemaah disyaratkan supaya menjaga jarak fizikal dengan jumlah maksimum jemaah adalah 40 peratus daripada kapasiti sebenar masjid, tertakluk kepada kesediaan dan kemampuan ahli jawatankuasa (AJK) masjid untuk mengendalikan kehadiran jemaah.

Beliau berkata, jemaah dibenarkan solat di luar bangunan masjid dengan syarat tidak mengganggu lalu lintas dan tanah orang tetapi jika hujan dan tiada khemah disediakan di luar masjid, jemaah yang di halaman masjid tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid kerana ia akan menyebabkan kesesakan dalam masjid.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 11:44 AM