FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amir Mamat


Melaka: Jumlah jemaah di semua masjid dan surau di negeri ini untuk setiap solat fardu akan ditambah susulan permintaan umat Islam menerusi ahli jawatankuasa masjid masing-masing.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kerajaan negeri menerusi keputusan mesyuarat EXCO menetapkan jumlah maksimum 50 jemaah bagi masjid kerajaan, kariah serta institusi manakala surau seramai 20 orang.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding 12 jemaah sebelum ini di semua masjid dan surau di negeri itu.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah jemaah bagi solat Jumaat adalah kekal 250 orang bagi masjid kerajaan, 100 orang (masjid kariah dan institusi) serta 50 orang (surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat).

"Perubahan kepada ketetapan jumlah maksimum jemaah bagi solat fardu itu berkuatkuasa hari ini sehingga terdapat perubahan terbaharu akan ditentukan kelak.

"Sehubungan itu, seluruh jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini diminta supaya mematuhi ketetapan terbaharu ini berdasarkan Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan menerusi Pekeliling JAIM Bilangan 11/2021 bertarikh 31 Mei lalu.

"Kebenaran pelaksanaan aktiviti boleh ditarik balik sekiranya pentadbiran masjid dan surau gagal mematuhi SOP yang ditetapkan itu," katanya.

Sementara itu Che Sukri berkata, walaupun bilangan jemaah solat Jumaat dikekalkan, namun JAIM tetap menggalakkan semua masjid dan surau supaya memperdengarkan bacaan Yasin dan doa menghindari covid-19 yang dibacakan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil sebelum khutbah dibaca oleh khatib bertugas.

Katanya, langkah itu bagi melengkapkan kesungguhan umat Islam untuk mendapatkan perlindungan Allah SWT daripada pandemik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 4:12 PM