Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua jururawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu dikesan menerusi saringan semua petugas kesihatan di wad ICU itu semalam.

Ini katanya, selepas seorang jururawat di wad berkenaan dijangkiti Covid-19 pada 8 Oktober.

"Sehingga kini hanya dua kes disahkan positif Covid-19. KKM masih menyiasat sama ada kes berkenaan mendapat jangkitan di komuniti luar atau dalam hospital kami.

"Kita mencuba yang terbaik untuk memastikan jururawat dan petugas kesihatan mematuhi langkah kawalan jangkitan ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media maya mengenai perkembangan terkini Covid-19 menerusi Facebook (FB) rasmi KKM hari ini.

HANIS bersama dua anaknya.
HANIS bersama dua anaknya.

Menurutnya, selain daripada ahli keluarga pesakit Covid-19, petugas kesihatan adalah individu yang berisiko tinggi untuk terkena jangkitan virus itu.

"Apa yang penting ialah semua petugas kesihatan perlu mengikut langkah kawalan jangkitan ditetapkan.

"Selain itu kena praktiskan tatacara amalan klinikal yang baik sebagai langkah pencegahan. Terkini seramai 579 petugas kesihatan yang dijangkiti sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

"Sabah sahaja, seramai 198 petugas kesihatan dijangkiti bagi tempoh sama. Sebanyak 85 kes setakat 10 Oktober berbanding 58 kes jangkitan kepada petugas kesihatan sepanjang September lalu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 8:20 PM