Mohd Firdaus Ibrahim dan Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat tiga kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster berkenaan ialah Kluster Atap (Sabah), Kluster Bah Lada (Perak) dan Kluster Bah Sahabat (Terengganu).

Memperincikannya, Noor Hisham berkata, Kluster Atap dikenal pasti di daerah Kota Kinabalu, Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12,880) dikenal pasti positif hasil saringan bergejala pada 4 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

"Saringan kontak rapat telah mengenalpasti tiga lagi kes positif Covid-19.

Sehingga 9 Oktober, 49 individu telah disaring empat daripadanya positif , 36 negatif dan sembilan individu masih menunggu keputusan," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Menurutnya, kluster Bah Lada pula dikenal pasti di daerah Hilir Perak.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12374 kes ke13978) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pulang dari Sabah pada 3 dan 6 Oktober lalu.

"Mereka dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak. Saringan kontak rapat telah mengenalpasti dua lagi kes positif. Sehingga kini, 41 individu telah disaring empat daripadanya positif, 31 negatif dan enam individu masih menunggu keputusan.

"Manakala, Kluster Bah Sabahat puladikenal pasti di daerah Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, Terengganu.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-10766 dan kes ke-10767) telah dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari Sabah pada 25 September dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

"Saringan kontak rapat telah mengesan lapan lagi kes positif. Sehingga 9 Oktober, sejumlah 88 individu telah disaring 10 daripadanya positif, 34 negatif dan 44 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 7:00 PM