RAZMAN Zakaria pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan.FOTO Balqis Jazimah Zahari
RAZMAN Zakaria pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan.FOTO Balqis Jazimah Zahari
BERNAMA

Ipoh: Perak akan memberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM150 kepada pelajar dari negeri itu yang terkandas di semua institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta seluruh negara berikutan cadangan penangguhan pendaftaran oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban pelajar termasuk untuk membeli tiket balik ke kampung serta menambah nilai data mudah alih.

Beliau berkata cara penyaluran serta tempoh bayaran bagi peringkat awal yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM500,000 akan diputuskan selepas mendapat kelulusan daripada mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan, Rabu ini.

"Kerajaan negeri bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Majlis Perundingan Mahasiswa sedang mengumpulkan jumlah pelajar yang terkesan dan memerlukan bantuan itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Razman, pelajar yang mahu mendapatkan bantuan itu boleh membuat permohonan menerusi laman sesawang www.perak.org/iptcovid dan setakat ini kira-kira 1,500 daripada anggaran 70,000 anak Perak di IPT seluruh negara telah memohon.

"Besar kemungkinan jumlah pelajar yang memohon akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Pada 2 Oktober lalu, KPT mencadangkan semua IPT menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal/bersemuka bagi pelajar baharu dan lama untuk kemasukan bulan ini demi kesejahteraan dan keselamatan semua pihak, susulan peningkatan kes Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 3:44 PM