Foto hiasan
Foto hiasan
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mencadangkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) untuk menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar baharu dan lama ke kampus.

Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran hingga pengumuman baharu mengenainya dibuat.

KPT menerusi kenyataan hari ini berkata, pihaknya amat prihatin dengan pandangan pelbagai pihak serta kebimbangan yang disuarakan oleh pelajar, ibu bapa dan masyarakat dengan peningkatan kes Covid-19 yang berlaku selang beberapa hari saja dari tarikh kemasukan pelajar baharu ke universiti.

"KPT turut prihatin mengenai kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar universiti dan semua pihak yang terbabit.

"Keputusan menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar yang terbabit perlu dibuat demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak.

"Bagi pelajar yang sudah berada di kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing," katanya.

KPT berkata, pihak IPT juga diminta membantu segala keperluan yang diperlukan oleh kumpulan pelajar berkenaan.

Sebarang pertanyaan berkaitan pergerakan balik ke kampus serta sesi pengajaran dan pembelajaran boleh dirujuk terus kepada IPT masing-masing.

KPT juga mencadangkan kepada semua IPT supaya menangguhkan semua program atau aktiviti membabitkan himpunan di dalam kampus.

Menurutnya, KPT turut mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar pulang ke kampus khususnya bagi mereka yang sudah membeli tiket penerbangan pulang ke IPT masing-masing.

"Keprihatinan dan kepekaan daripada semua pihak dalam menjaga hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan pelajar dan masyarakat amat diperlukan dalam menghadapi situasi semasa berkaitan pandemik Covid-19 ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 3:05 PM