Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan seorang pengunjung yang berpura-pura mabuk dan cuba keluar melalui pintu utama sebuah pusat hiburan di Metro Pudu, di sini, ketika pemeriksaan polis gagal apabila dia ditahan.

Dalam serbuan Operasi Noda (Op Noda) 12 tengah malam tadi, lelaki berkenaan dilihat berjalan menuju ke pintu utama premis terbabit dalam keadaan terhuyung-hayang.

Bagaimanapun, anggota polis bertugas berjaya menahan lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit sebelum memintanya kembali semula ke tempat berkumpul di dalam premis itu untuk pemeriksaan.

Pemeriksaan awal pihak polis terhadap lelaki berkenaan mendapati dia hanya berpura-pura mabuk kerana mahu meloloskan diri daripada ditahan pihak polis.

Lelaki terbabit adalah antara 180 pengunjung pusat hiburan terbabit yang dikenakan tindakan kompaun RM1,000 setiap kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila berada di premis berkenaan melebihi had masa dibenarkan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, seramai 48 pegawai dan anggota daripada Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kuala Lumpur serta JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju terbabit dalam operasi itu.

"Seramai 180 pengunjung pusat hiburan terbabit terdiri daripada 137 lelaki dan 43 wanita berusia antara 21 hingga 38 tahun diperiksa serta dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(No 7) 2020.

"Selain itu, kami turut melakukan ujian saringan awal air kencing terhadap 60 pengunjung pusat hiburan itu termasuk 20 wanita dan kesemuanya didapati negatif pengambilan dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya turut menahan tiga pengunjung lelaki yang didapati memiliki lambang atau tatu tidak diwartakan.

"Pemeriksaan dilakukan terhadap tiga lelaki berkenaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Pada masa sama, kami turut menahan tiga lelaki warga India dan tiga lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pengurus, juruwang serta pelayan bar di premis berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kami merampas dua resit jualan, peralatan muzik serta sejumlah wang tunai," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B akta sama, Seksyen 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan Haram 1966.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    ANTARA pengunjung yang ditahan kerana melanggar SOP. FOTO HAZREEN MOHAMAD
    ANTARA pengunjung yang ditahan kerana melanggar SOP. FOTO HAZREEN MOHAMAD

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 9:23 AM