ANTARA GRO yang ditahan. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
ANTARA GRO yang ditahan. FOTO NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA pelayan pelanggan (GRO) berpakaian serba merah untuk menarik pelanggan.

Itu taktik digunakan sebuah pusat hiburan di Sungai Way, di sini, sebagai ‘tawaran’ kepada pengunjung.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar dalam serbuan dilakukan menerusi Op Club Rat/Op Noda di premis berkenaan 11.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 134 individu diperiksa membabitkan 71 GRO warga Thailand, 52 pengunjung lelaki termasuk enam daripadanya dari Thailand dan 12 pekerja premis dalam operasi berkenaan.

“Daripada jumlah itu, seramai 71 GRO warga Thailand dan 11 lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki tempatan yang semuanya berusia antara 20-an hingga 50-an ditahan.

“Malah, semua 134 individu terbabit diarahkan menjalani ujian saringan air kencing serta pemeriksaan dokumen dalam operasi ini,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, semalam.

Nik Ezanee berkata, hasil pemeriksaan dokumen mendapati semua GRO berkenaan mempunyai passport atau visa yang disyaki bekerja tanpa premit.

“Kami turut merampas wang tunai sebanyak RM1,050 dalam serbuan berkenaan. Pusat hiburan ini pernah diserbu lapan kali sejak awal tahun lalu sehingga kali ini.

“Malah, mereka juga didapati menggunakan helah menukar nama premis berkenaan yang mempunyai lesen dengan kerap dalam tempoh beberapa bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk menjalani saringan air kencing.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati tiga lelaki didapati positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39b dan Seksyen 6(1) (c) akta sama kerana kesalahan menggaji pekerja asing, langgar syarat permit serta tiada dokumen perjalanan sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 11:45 AM