DR Noor Hisham pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Bernama
DR Noor Hisham pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohd Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Trend peningkatan jumlah kes positif Covid-19 yang merekodkan angka tiga digit tiga hari berturut-turut berikutan tindakan aktif dan agresif dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lapangan bagi mengekang penularan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan jumlah kes positif itu dijangka berterusan bagi tempoh antara satu hingga dua minggu.

"Antara tindakan yang dilakukan adalah saringan terhadap 18,614 penduduk termasuk 87 individu bukan warganegara di kawasan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) Kota Setar, Kedah bermula 11 hingga 25 September lalu dengan 44 individu dikesan positif.

"Selain itu, seramai 13,032 individu terdiri daripada pengunjung dari Sabah juga disaring di setiap pintu masuk domestik dan antarabangsa sejak 27 September lalu dengan 176 daripadanya didapati positif," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut menjalankan pengesanan kontak rapat membabitkan kes aktif dan saringan bersasar di empat daerah Perintah Kawalan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Sabah.

"Pada masa sama, kami turut menjalankan saringan terhadap kumpulan berisiko tinggi membabitkan warga emas di rumah jagaan, saringan tahanan imigresen serta saringan petugas kesihatan.

"Malah, aktiviti survelan melalui pemantauan kes Influenza-Like Illness (ILI), Severe Acute Respiratory Illness (SARI), saringan pra pembedahan dan lain-lain aktiviti survelan di lapangan turut dilakukan.

"Perlaksanaan tindakan ini akan menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah kes positif yang berjaya dikesan dalam komuniti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM sudah menggerakkan pasukan bantuan, menghantar peralatan Personal Protection Equipment (PPE), alat bantuan pernafasan (ventilator) dan membuka pusat rawatan berisiko rendah bagi dijadikan pusat kuarantin serta menempatkan kes positif Covid-19 yang stabil di Sabah.

"Tindakan ini sudah dilakukan sejak awal peningkatan bilangan kes di negeri berkenaan dan dipertingkatkan mengikut keperluan semasa.

"Di Sabah, ada enam hospital serta enam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan setiap daripadanya mempunyai kapasiti 590 katil dan 1,396 katil.

"Sehingga 2 Oktober lalu, kadar penggunaan katil adalah sebanyak 69 peratus di hospital KKM dan 31 peratus di PKRC, manakala bagi perkhidmatan rawatan rapi pula, Sabah mempunyai 66 katil dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 yang kritikal dengan kadar penggunaan sebanyak 23 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 7:41 PM