Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Beberapa indikator Covid-19 mula menunjukkan sedikit peningkatan pada Minggu Epidemiologi (ME) 41/2022 berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sepanjang tempoh 9 Oktober hingga Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan peningkatan 16.7 peratus jumlah kemasukan pesakit Covid-19 dalam kategori tiga hingga lima, manakala tiada perubahan bagi kategori satu hingga dua.

Katanya, selain itu bilangan kes baharu Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah turut menunjukkan peningkatan sebanyak 0.25 peratus.

"Bilangan kes Covid-19 yang dirujuk Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) meningkat sebanyak 39.2 peratus berbanding minggu sebelumnya serta trend kes aktif yang dipantau menggunakan CAC Maya turut meningkat 21.2 peratus iaitu daripada 25,731 kes kepada 31,197 kes.

"Bilangan kes baharu pada ME 41/2022 turut meningkat sebanyak 8.5 peratus iaitu daripada 11,018 kes kepada 11,957 kes serta peningkatan 8.5 peratus bagi kes tempatan iaitu daripada 10,987 kes kepada 11,916 kes, manakala bagi kes import, ia meningkat 32.3 peratus iaitu 31 kes kepada 41 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, beberapa indikator lain pula menunjukkan penurunan iaitu bilangan kes sembuh yang menurun sebanyak 13.2 peratus iaitu 12,882 kes kepada 11,180 kes pada minggu sebelumnya.

"Bilangan kes kematian pada ME 41/2022 menurun sebanyak 29.2 peratus iaitu daripada 24 kes kepada 17 kes, diikuti purata kes aktif setiap hari bagi ME 41/2022 adalah 22,725 iaitu terdapat penurunan sebanyak 3.0 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya.

Katanya, bagi situasi penggunaan katil untuk pesakit Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil bukan kritikal kekal tiada perubahan seperti minggu sebelumnya manakala untuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), terdapat penurun dua peratus.

"Selain itu katil di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada yang aktif. Peratusan pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 0.2 peratus pada ME41/2022 berbanding sebelum ini serta kedatangan pesakit ke CAC turut menurun sebanyak 7.1 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel di seluruh negara mendapati, sebanyak 75 sampel dalam kalangan pesakit seperti influenza (ILI) dikesan positif dengan kadar positif adalah 11.1 peratus.

"Selain itu sebanyak 4.65 peratus sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif COVID-19 pada ME41/2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 2:33 PM