SUASANA persiapan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan (PL). FOTO BERNAMA
SUASANA persiapan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan (PL). FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kedua di Labuan berikutan peningkatan kes direkodkan di wilayah berkenaan sejak 27 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak permulaan wabak Covid-19 sehingga 26 September lalu, Labuan hanya mencatatkan 26 kes secara kumulatif.

"Namun mulai 27 September lalu sehingga hari ini, Labuan mencatatkan tambahan sebanyak 366 kes menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan kes berjumlah 392 kes.

"Susulan itu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 17 Oktober lalu yang kini dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 13 November nanti.

"Pola peningkatan kes Covid-19 di Labuan dijangkakan akan meningkat disebabkan oleh saringan bersasar secara besar-besaran yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) terutama di kawasan berpotensi wabak dengan purata saringan adalah 1,500 ke 2,500 sehari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah sampel ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang diambil sejak 27 September lalu berjumlah 23,807.

"Kadar pengesanan kes keseluruhan di Labuan adalah sekitar 1.5 peratus, manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula sekitar 10 sehingga 15 peratus.

"Bagi menampung kapasiti rawatan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat di Labuan, JKWP Labuan meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan PKRC iaitu Fasa 1 pada Januari hingga Mac lalu dengan menjadikan rumah pelawat dan 'wellness centre' sebagai PKRC dengan kapasiti 16 katil.

"Fasa 2 pada Mac hingga September lalu pula memaksimakan ruang di Hospital Labuan dengan tambahan 105 katil sekali gus menjadikan kapasiti katil Covid-19 meningkat kepada 121 katil.

"Bagi Fasa 3 pada September hingga Oktober lalu, ia membabitkan rundingan penggunaan fasiliti luar iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan sebagai PKRC yang berkapasiti 56 katil menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC sebanyak 177 katil," katanya.

Beliau berkata, disebabkan jumlah pesakit semakin bertambah, JKWP Labuan menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di wilayah berkenaan sebanyak 317 katil yang beroperasi sepenuhnya, hari ini.

"Bagi rawatan Covid-19 di Hospital Labuan pula, sebanyak 20 katil daripada 122 katil di Hospital Labuan dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5 iaitu sebagai katil High Dependency Unit (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Kelas Pertama dan Wad Kanak-Kanak.

"Baki 102 lagi katil Hospital Labuan iaitu termasuk lima katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan Covid-19 sekali gus menjadikan kapasiti terkini katil untuk pesakit Covid-19 di Labuan meningkat kepada 337 katil.

"Jumlah itu membabitkan 317 katil di PKRC, manakala katil untuk rawatan pesakit Covid-19 di Hospital Labuan adalah 20 katil," katanya.

Katanya, pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan itu adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan, dan agensi lain di Labuan.

"Ia termasuk Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.

"Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan The Whole of Government and Whole of Society Approach.

"Tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu ini akan mengunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang dihantar untuk bantuan di JKWP Labuan.

"Pasukan ini akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk memastikan program Kawalan Covid-19 di Labuan berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 7:38 PM