AYAM sejuk beku diisi di dalam Pajero Mitsubishi berwarna hijau dipercayai diseludup dari Thailand. FOTO ihsan PGA7
AYAM sejuk beku diisi di dalam Pajero Mitsubishi berwarna hijau dipercayai diseludup dari Thailand. FOTO ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Sebanyak 1,890 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai kira-kira RM20,000 ditemui dalam pacuan empat roda Mitsubishi Pajero yang ditahan dalam di Jalan Lati, di sini, semalam.

Dalam kejadian 11 malam, sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) menahan pikap terbabit yang ditahan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya terserempak dengan kenderaan itu ketika membuat rondaan lalu mengekorinya.

Katanya, pemandu bertindak memberhentikan pikap itu sejurus menyedari diekori lalu melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Anggota cuba mengesan suspek, namun gagal lalu menemukan kotak yang dibalut plastik berwarna biru dipercayai diisi dengan ayam sejuk beku ketika membuat pemeriksaan.

"Siasatan awal mendapati bekalan ayam sejuk beku terbabit diseludup dari negara jiran melalui pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang, untuk pasaran tempatan," katanya.

Katanya, kesemua barangan termasuk kenderaan dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 6:03 PM