BARANGAN sejuk beku bernilai RM10,962 yang dirampas anggota PGA7. FOTO ihsan PGA7
BARANGAN sejuk beku bernilai RM10,962 yang dirampas anggota PGA7. FOTO ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai jenis produk sejuk beku bernilai RM10,962 kerana tiada dokumen sah di Taman Permai, Gual Tinggi, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, anggota terserempak sebuah lori jenis Isuzu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota meminta pemandu warga tempatan berusia 23 tahun untuk memberhentikan kenderaan sebelum dibuat pemeriksaan penuh.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan pemandu tidak menemui sebarang barangan yang menyalahi undang-undang namun terdapat pelbagai produk sejuk beku di lori berkenaan.

"Anggota meminta suspek mengemukakan dokumen perjalanan serta pembelian berkaitan barangan dan mendapati ia meragukan dengan jumlah barangan dibawa.

"Suspek ditahan manakala lori dan barangan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen (11)(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) 2011.

Sementara itu, Azhari berkata, dalam kejadian berasingan, anggota merampas pelbagai barangan runcit dan sosej tanpa dokumen sah bernilai RM26,182 di Kampung Jalan Kedai Lama, di sini, kelmarin.

"Pemandu van berusia 30 tahun ditahan dan barangan yang dirampas dibawa ke balai polis sebelum diserahkan kepada bahagian penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pasir Mas untuk tindakan lanjut," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 10:35 AM