Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 2,570 kilogram (kg) ayam sejuk beku dipercayai diseludup dari negara jiran, Thailand, bernilai RM70,840 di Pengkalan Haram Jitong, Pasir Mas, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 6 pagi itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak beberapa lelaki memunggah kotak bungkusan dari perahu ke beberapa buah kenderaan.

Katanya, anggota kemudian menghampiri mereka dan memperkenalkan diri sebagai polis, sebelum kesemua lelaki terbabit bertindak melarikan diri dengan perahu ke Thailand.

"Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar, terdapat dua kenderaan iaitu jenis Pajero Mitsubishi dan van Nissan Vanette dipenuhi dengan bungkusan kotak yang dipercayai diisi oleh sekumpulan lelaki berkenaan.

"Siasatan awal mendapati 257 kotak ayam sejuk beku diisi di dalam kedua-dua kenderaan dan dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

"Anggota kemudian merampas kesemua ayam sejuk beku termasuk kenderaan untuk diserahkan kepada Balai Polis Jeram Perdah dan pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara PGA, Lubok Stol di sini, hari ini.

Azhari berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Beliau berkata, sabit kesalahan, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Penyeludup membawa masuk ayam sejuk beku ini secara haram bagi mengelak bayaran cukai dan ia dijual pada harga yang lebih murah di pasaran tempatan, namun jaminan keselamatan dan kebersihan masih diragui termasuk status halal," katanya.

Superintendan Azhari (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan ayam sejuk beku dipercayai diseludup dari Thailand. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Superintendan Azhari (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan ayam sejuk beku dipercayai diseludup dari Thailand. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 10:33 AM