ZULKARNAIN YASIN
ZULKARNAIN YASIN
BERNAMA

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mencatat kutipan kompaun RM759,541 dalam tempoh dua bulan susulan penawaran diskaun hingga 70 peratus ke atas kompaun dilaksanakan sejak 3 Ogos lalu.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin berkata, orang ramai memanfaatkan sepenuhnya diskaun berkenaan yang berakhir semalam dengan menjelaskan kompaun dikenakan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

"Mengikut statistik pada Ogos, jumlah kutipan sebanyak RM575,143, manakala September pula RM184,398.

"Bayaran kompaun membabitkan pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS), tiada lesen memandu kompeten (CDL) serta kesalahan teknikal," katanya kepada selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya kepada penunggang pesanan makanan (food rider) di Ibu Pejabat JPJ Negeri Terengganu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, pihaknya turut melaksanakan program kesedaran bagi memastikan penunggang motosikal di bawah syarikat pengendali penghantaran makanan dalam talian seperti Foodpanda, GrabFood dan Oda Makan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya sebagaimana ditetapkan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:26 PM