GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuantan: Jabatan Perhutanan Pahang menafikan dakwaan terdapat aktiviti perlombongan emas haram atau penerokaan berskala besar di Hutan Simpan Lakum, Lanchang, dekat sini, seperti dakwaan tular di laman sosial Facebook, semalam.

Jabatan itu menerusi kenyataan media di sini, hari ini, turut menolak dakwaan individu menggunakan nama 'Wartawan Tua' bahawa berlaku penerokaan dilakukan bagi penanaman durian jenis Musang King atau vanila, yang dikatakan tidak diketahui status 'halal atau haram'.

"Dakwaan mengatakan banyak lombong emas haram berselindung di sebalik permit pembalakan dan lombong pasir, sedangkan tiada lombong emas haram wujud di Hutan Simpan Lakum, maka tiada dakwaan kegiatan itu berselindung di balik permit pembalakan.

"Siasatan mendapati tiada permit lombong pasir dikeluarkan di Hutan Simpan Lakum. Penjelasan ini berdasarkan semakan dan tinjauan ke lokasi dimaksudkan dalam dakwaan itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyatakan dakwaan kerja pembalakan baru sahaja dimulakan untuk menebang kira-kira 5,665 hektar hutan simpan itu sebagai tidak berasas kerana hanya kawasan seluas 2,666.83 hektar dikeluarkan lesen pembalakan ladang hutan, bermula 2018 hingga 2020.

Jabatan Perhutanan Pahang menegaskan mereka menjalankan tugas menguruskan hutan dengan serius dan mengalu-alukan aduan sahih dibuat secara terus bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Semalam, seorang bekas wartawan yang mendakwa dirinya sebagai aktivis alam sekitar memuat naik status di Facebook mendakwa dirinya banyak menerima aduan bersama gambar mengenai kemusnahan hutan simpan berskala besar di Lanchang yang dikatakan bermula sejak beberapa tahun dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:13 PM