Mohd Rafi Mamat


Lipis: Seorang lelaki tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kes kegiatan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai, di sini, Isnin lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu menyerah diri di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, kelmarin seterusnya membawa pegawai penyiasat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ke rumah sewanya di Taman Tempoyang, di sini.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, kerjasama yang diberikan lelaki terbabit dapat melancarkan lagi siasatan seterusnya menemui bukti kegiatan haram yang dilakukan.

Katanya, pemeriksaan di rumah lelaki dari Johor itu menemui pasir yang sudah diproses bagi menghasilkan serbuk emas berkualiti selain peralatan dan bahan kimia.

Menurutnya, siasatan mendapati emas yang diperoleh dijual dengan harga RM200 hingga RM250 segram dan lelaki itu mendakwa dalam tempoh 10 hari lalu dia mendapat 300 hingga 500 gram emas hasil aktiviti yang dilakukan di rumahnya.

"Suspek yang dibantu dua warga Myanmar berumur 26 dan 30 tahun pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dikatakan menjalankan kegiatan perlombongan haram sejak awal tahun ini.

"Kegiatan haram mereka lebih tertumpu di sepanjang Sungai Kasai Hutan Simpan Ulu Jelai. Kegiatan berskala sederhana itu menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera," katanya dihubungi, di sini hari ini.

Harian Metro semalam menyiarkan berita kejayaan Unit Penguatkuasa PHD Lipis membongkar kegiatan melombong emas secara haram di Hutan Simpan Ulu Jelai.

Kegiatan berkenaan dipantau oleh Unit Penguatkuasaan Pahang Barat dengan bantuan Bahagian Penguatkuasaan JPSM serta PHD Lipis sejak sebulan yang lalu melalui aduan awam.

Nor Shahrini berkata, lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 84 (1) kerana memiliki hasil hutan tanpa kebenaran serta Seksyen 109 Kanun Prosedur Jenayah (Pengsuhabatan), Seksyen 32(1) dan Seksyen 81(1) (g) Akta Perhutanan Negara 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 1:35 PM
PEGAWAI penguat kuasa memeriksa pasir yang mengandungi emas di rumah lelaki disyaki terbabit dengan aktiviti melombong emas secara haram. FOTO Mohd Rafi Mamat
PEGAWAI penguat kuasa memeriksa pasir yang mengandungi emas di rumah lelaki disyaki terbabit dengan aktiviti melombong emas secara haram. FOTO Mohd Rafi Mamat