Adnan Ibrahim

Kluang: Tiada unsur pembalakan haram ditemui di dalam Hutan Simpan Lenggor manakala aktiviti penebangan pokok di situ sudah mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi dilancarkan susulan daripada maklumat orang awam yang mengatakan terdapat aktiviti pembalakan haram di kawasan berkenaan.

"Apabila sampai di lokasi dilaporkan di apartmen 197, kita dapati bahawa kayu-kayu balak itu adalah kayu balak yang lama sahaja.

"Kira-kira 80 pegawai dan anggota dari kedua-dua pihak terlibat dalam tinjauan bermula awal pagi tadi hingga lewat petang ini dan hasilnya mendapati kerja pembalakan itu dilakukan mengikut permit dikeluarkan," katanya kepada media, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor Datuk Salim Aman dan Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng.

Menurutnya, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Johor untuk menjejaki setiap kegiatan pembalakan di negeri ini bagi memastikan tiada aktiviti menyalahi undang-undang berlaku.

ANTARA lori membawa kayu balak yang ditahan ketika cuba dibawa keluar dari Hutan Simpan Lenggor. FOTO Adnan Ibrahim
ANTARA lori membawa kayu balak yang ditahan ketika cuba dibawa keluar dari Hutan Simpan Lenggor. FOTO Adnan Ibrahim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 8:26 PM