FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Mersing: Tourism Malaysia Surfcasting Tour (TMST2020) yang tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu akan bersambung semula di Pantai Seri Lalang Laut, 3 Oktober ini.

Pertandingan anjuran Tourism Malaysia itu, mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Majlis Daerah Mersing (MDM) dan Tourism Johor.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM75,000.00.

Juara akan membawa pulang wang tunai RM35,000.00, naib juara (RM10,000) dan ketiga (RM5,000).

Pemenang keempat hingga ke-80 juga akan menerima hadiah wang tunai dan hadiah iringan.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, pertandingan itu mampu meningkatkan imej Mersing sebagai daerah pelancongan sekali gus meningkatkan industri pelancongan domestik.

"Industri pelancongan negara terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. Tiada kemasukan pelancong luar negara menyebabkan industri pelancongan terjejas.

"Justeru acara memancing seperti TMST2020 ini sedikit sebanyak membantu industri, khususnya hotel, homestay dan peniaga.

"Meskipun negara masih dalam tempoh PKPP, namun saya yakin acara ini mampu dilaksanakan dengan berkesan berikutan penganjur menyediakan SOP khusus yang wajib dipatuhi semua peserta,'' katanya.

Menurut Dr Ammar, pelaksanaan acara ini bakal menyaksikan penganjur menetapkan penjarakan antara peserta ialah dua meter ketika memancing. Justeru, penganjur akan membuka kawasan memancing sepanjang 2.4 kilometer bagi menampung peserta.

Katanya, penganjur juga akan menyediakan pancang (jarak dua meter) di sepanjang kawasan memancing selain 40 anggota Rela yang akan bertugas bagi memantau pematuhan SOP.

Selain itu, pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu badan juga akan dilakukan manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun dilarang mengambil bahagian..

Pertandingan bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Bagi mengelak peserta berkumpul selepas pertandingan, penganjur tidak akan mempamerkan hasil tangkapan dan keputusan pertandingan.

Sebaliknya, keputusan akan dimuat naik menerusi media sosial untuk makluman peserta.

Pemenang cabutan bertuah pula hanya dibenarkan mengambil hadiah masing-masing sepanjang acara berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi mengelak peserta berkumpul pada majlis penyampaian hadiah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2020 @ 5:30 PM