SENAPANG angin buatan sendiri yang dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM
SENAPANG angin buatan sendiri yang dirampas polis. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Dua lelaki ditahan polis kerana memiliki senapang angin buatan sendiri serta peluru dalam serbuan berasingan di Penaga dan Sungai Petani, Kedah, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat berhubung pemilikan senjata itu.

"Serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Penaga, di sini dan menemui selaras senapang angin buatan sendiri, bekas mengandungi peluru bearing dan sebuah 'compressor freezer'.

"Pemilik senjata berusia 43 tahun ditahan sebelum siasatan ke atasnya membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki berusia 40 tahun dalam serbuan kedua di Sungai Petani, Kedah, pada 3.20 petang.

"Dalam serbuan itu, polis turut menemui senapang angin buatan sendiri beserta bekas mengandungi peluru ball bearing," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kesemua barangan terbabit dirampas untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan ke atas kedua-dua suspek mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah," katanya.

Kedua-dua suspek kini mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:39 AM