Senapang jenis Pump Gun yang dirampas anggota PGA8 di Kampung Tasek Berangan, Repek, di sini, semalam. FOTO IHSAN PGA8
Senapang jenis Pump Gun yang dirampas anggota PGA8 di Kampung Tasek Berangan, Repek, di sini, semalam. FOTO IHSAN PGA8
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Tindakan seorang pensyarah kanan di sebuah institut pengajian tinggi dengan melepaskan tembakan ke arah sawah padi di Kampung Tasek Berangan, Repek, di sini, semalam, menimbulkan tanda tanya.

Kejadian itu bagaimanapun sempat dilihat sendiri oleh anggota Batalion 8, Pasukan Gerakan Am (PGA8) dan lelaki itu terus ditahan bersama senapang terbabit.

Pegawai Pemerintah PGA8, Supritendan Muhammad Shamsuddin, berkata, suspek berusia 40 an itu tidak mempunyai lesen dan permit senjata selain senapang terbabit dipercayai diseludup dari Thailand, melalui pangkalan haram.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3 petang itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sebuah Mitsubishi Pajero berwarna kelabu dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan bendang sawah padi.

"Anggota kemudian melihat suspek turun daripada kenderaan berkenaan dengan menggalas senapang terbabit sebelum terus melepaskan tembakan ke arah sawah.

"Selepas itu, anggota terus menghampiri suspek dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum merampas senapang miliknya. Hasil pemeriksaan, senapang terbabit adalah jenis 'pump gun' bertulis perkataan Escort buatan Turki.

"Pihak kami turut menemui dua butir peluru hidup pada senjata berkenaan dan pemeriksaan di dalam kereta menjumpai sembilan peluru jenis Sg 12 Broke, lima peluru Pellets dan 158 butir Ball Bearing," katanya.

Muhammad berkata, suspek ditahan, manakala kesemua barangan serta kenderaan dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206), Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Akta 37) dan Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjaya Berbahaya 1958 (Akya 357).

"Orang awam dinasihatkan untuk memohon lesen atau permit bagi memiliki senjata api sejajar dengan undang-undang yang ditetapkan.

"Selain itu, PGA8 terus komited menjalankan tugas mengawal kawasan sempadan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan tiada jenayah rentas sempadan atau penularan wabak berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 4:15 PM