Ruwaida Md Zain


DUA tentera yang masih berkhidmat di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur adalah antara tujuh ditahan kerana memiliki senjata api tiruan dan senjata api ubah suai dalam Ops Laras Rimba pada 23 dan 24 April lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, tangkapan itu dilakukan susulan aduan orang awam yang mendengar bunyi letupan dari arah semak dan melihat dua lelaki bersama selaras senapang di Hulu Selangor pada 22 April lalu.

"Hasil maklumat itu, beberapa siri serbuan dan tangkapan dilakukan di Hulu Selangor, Klang Selatan, Shah Alam, Gombak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan Muallim di Perak.

"Tujuh lelaki berusia 33 hingga 51 tahun membabitkan dua tentera, dua tukang kebun, seorang pemandu lori, seorang kontraktor dan seorang tukang besi ditahan.

"Tukang besi terbabit dipercayai individu yang bertanggungjawab mengubahsuai senjata api dan membuat senapang angin.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada tukang kebun berkenaan mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya ketika sidang media di IPK Selangor di Shah Alam hari ini.

NOOR Azam menunjukkan rampasan senjata api dan peluru tiruan yang telah diubah suai ketika sidang media di IPK Selangor, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
NOOR Azam menunjukkan rampasan senjata api dan peluru tiruan yang telah diubah suai ketika sidang media di IPK Selangor, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Noor Azam berkata, polis berjaya merampas tiga senapang patah buatan sendiri, tujuh senapang gas buatan sendiri, 169 butir peluru hidup, lima kotak bebola galas besi (ball bearing), lapang kelongsong peluru dan lapan telefon bimbit.

"Peluru itu didakwa diperoleh daripada dua individu yang masih bebas, mereka dikatakan mempunyai permit dan lesen senjata apa yang sah.

"Mereka menggunakan permit yang ada untuk membeli peluru secara sah dan membenarkan peluru itu digunakan oleh ahli kumpulan terbabit," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kumpulan berkenaan aktif dalam kegiatan pemburuan haram sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

Katanya, mereka dipercayai memburu babi hutan, rusa, kijang dan ayam hutan.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 5:36 PM