Omar Ahmad

Johor Bahru: Enam lelaki tempatan ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Kluang dan Kulai, di sini, kerana terbabit dalam aktiviti pemburuan haram serta memiliki senjata api buatan sendiri.

Kesemua mereka yang berusia antara 22 hingga 57 tahun ditahan antara 21 Oktober hingga malam tadi menerusi Ops Khazanah Bersepadu yang dijalankan di empat lokasi iaitu tiga di Kluang, manakala satu lagi di Pekan Nanas, Kulai.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan terbaru, lelaki berusia 57 tahun ditahan di sebuah premis dalam ladang Landak, di Paloh, Kluang pada 11.40 malam tadi dan bahagian badan haiwan eksotik dirampas.

"Kita menemukan bahagian kijang dalam periuk selain kuku disyaki kuku harimau.

"Selain itu, empat laras senjata api buatan sendiri, 95 butir peluru hidup dan dua telefon bimbit turut dirampas. Difahamkan harga seekor harimau hidup boleh mencecah RM200,000," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Salman Saaban.

Ayob Khan berkata, dalam operasi jam 3.45 petang pada 21 Oktober lalu, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Jaya, Kluang dan polis merampas tiga laras senapang angin buatan sendiri, 10 butir peluru bore hijau, dua butir peluru bore tembaga dan tiga butir peluru disyaki jarum suntikan pelali.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas trofi kepala kijang, masing-masing dua musang pandan, kera dan burung Parakeet, serta empat burung Bayan yang diletakkan dalam sangkar berlainan.

AYOB Khan (tengah) bersama Salman (kiri) dan Md Yusof Ahmad (kanan) menunjukkan senapang buatan sendiri serta senapang angin termasuk peluru yang dirampas. FOTO Zain Ahmed.
AYOB Khan (tengah) bersama Salman (kiri) dan Md Yusof Ahmad (kanan) menunjukkan senapang buatan sendiri serta senapang angin termasuk peluru yang dirampas. FOTO Zain Ahmed.

Menurutnya, dalam satu lagi operasi pada hari sama, tiga lelaki berusia antara 22 hingga 51 tahun ditahan di Taman Seri Jaya, Pekan Nenas dan di ladang di Pulai, Kulai.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas tiga laras senapang angin buatan sendiri, mesin gergaji elektrik, mesin pencincang, angkup vernier, penimbang, dua bekas berisi bearing besi dan ekor bangkai hidupan liar disyaki ayam hutan.

"Hasil siasatan lanjut, satu lagi serbuan dilakukan jam 2.30 petang pada 25 Oktober lalu dan menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Taman Seri Jaya, Kluang kerana terbabit dalam kes sama.

"Kesemua suspek yang ditahan pada 21 dan 25 Oktober direman tujuh hari, dan semua mereka disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960, Seksyen 69 Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 60(1) Akta Pemuliharan Hidupan Liar 2010," katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya sudah membatalkan syarat memburu terhadap 823 pemegang senjata api di negeri ini.

Katanya, Jabatan Perhilitan Johor juga tidak lagi mengeluarkan sebarang permit memburu kepada mana-mana pihak.

"Semalam, saya turut mencadangkan pembatalan lesen kepada seorang individu yang juga ahli perniagaan yang mempunyai dua pistol.

"Bagi semua pemegang senjata api berlesen, polis memberi amaran tegas untuk membuat semakan ke atas penggunaan senjata api bagi memastikan tiada pelanggaran syarat ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:09 PM
AYOB Khan (tengah) bersama Salman (kiri) dan Md Yusof Ahmad (kanan) menunjukkan senapang buatan sendiri serta senapang angin termasuk peluru yang dirampas. FOTO Zain Ahmed.
AYOB Khan (tengah) bersama Salman (kiri) dan Md Yusof Ahmad (kanan) menunjukkan senapang buatan sendiri serta senapang angin termasuk peluru yang dirampas. FOTO Zain Ahmed.